Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 KK.

“Laporan polis itu dibuat di seluruh negara dan dijangka jumlah itu bertambah.

“Kita juga akan mengambil kenyataan ahli perniagaan itu dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Isnin lalu, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat mereka yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Bagaimanapun ahli perniagaan itu kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.- UTUSAN ONLINE