Pengarah Maritim negeri Perak, Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata, kesemua mereka merupakan warga Indonesia berusia 11 bulan hingga 53 tahun ditahan oleh KM Marlin lebih kurang 23 batu nautika selatan Pulau Jarak kira-kira pukul 1.50 petang.

Menurutnya, semasa rondaan dilakukan di kawasan tersebut, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika menghampiri bot tersebut, tiga orang yang disyaki tekong dan kru bot telah terjun ke laut menyelamatkan diri.

“Kami melakukan pencarian tetapi hanya seorang yang ditemukan manakala dua lagi mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Wan Mat, ketika pemeriksaan dilakukan kesemua 74 PATI berada dalam bot dengan bersembunyi di dalam petak yang dijadikan tempat persembunyian semasa pelayaran.

“Kesemua mereka yang terdiri daripada 57 lelaki, 15 perempuan dan dua kanak-kanak dalam perjalanan ke Tanjung Balai.

“Pihak kami juga menjumpai sejumlah besar beg pakaian, pasport dan keperluan peribadi dipercayai persiapan untuk pulang menyambut hari raya,” katanya.

Katanya, semua pati dibawa ke Pusat tahanan Vesel Kampung Bharu Acheh di sini dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Imigran 2007.

Dalam pada itu Wan Mat berkata, dalang sindiket penyeludupan keluar atau masuk migran berkenaan dipercayai warga tempatan dan warga indonesia yang menetap di sini.

“Mereka mengaut keuntungan yang besar dengan mengenakan bayaran dari RM1,000 hingga RM1,500 seorang tanpa mengambil kira keselamatan penumpang,” katanya.- UTUSAN ONLINE