Kegiatan tersebut kini mening­kat dan dikatakan menjadi tumpuan kaki judi melepaskan keta­gihan mereka selepas aktiviti judi haram lain digempur secara berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Dadu Khas sejak Januari lalu.

Menurut sumber, sindiket loteri awam tanpa lesen ini kebiasaannya beroperasi di segelintir premis menjual tambah nilai talian telefon prabayar dan menawarkan harga taruhan yang lebih murah berbanding premis loteri berlesen.

“Pelanggan akan datang ke premis sindiket kononnya untuk menambah nilai talian prabayar sebelum diserahkan cebisan kertas untuk ditulis empat nombor taruhan mereka.

“Keputusan nombor ekor tanpa lesen ini sama dengan nombor ekor berlesen, malah jumlah wang taruhannya juga sama dan akan dibayar oleh sindiket kepada pemenang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu, pihaknya mendapati jumlah premis loteri awam tanpa lesen yang diserbu sejak awal tahun ini hingga 5 September lalu mening­kat sebanyak 2,127 premis berban­ding tempoh yang sama tahun lalu.

“Tahun ini sebanyak 7,947 premis loteri awam tanpa lesen diserbu manakala tahun lepas hanya 5,820 premis. Sepanjang tempoh tersebut, kita turut menahan sebanyak 8,375 individu pada tahun ini manakala tahun lepas 6,327 orang sahaja.

“Dari segi rampasan wang tunai juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM340,696 iaitu RM1.47 juta berbanding RM1.13 juta pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Mohamad Fuzi, PDRM te­lah menggunakan pendekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bertujuan menangkap penganjur perjudian yang berselindung di sebalik tabir.

Tambahnya, sepanjang tempoh penguatkuasaan POCA sejak 2 April 2014 sehingga 5 September lalu, PDRM telah berjaya menangkap 177 suspek yang bertindak sebagai penganjur perjudian di seluruh negara.