Itu rancangan seorang lelaki warga Singapura yang dipercayai menerima arahan daripada Akel Zainal iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria.

Bagaimanapun, rancangan itu tidak berjaya selepas suspek berusia 48 tahun ditahan Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Departmen Keselamatan Khas dan Internal (ISD) Si­ngapura pada 19 Disember 2018.

Menurut sumber, ahli perniagaan yang bekerja di Johor Bahru itu berhubung rapat dengan Akel Zainal dan menyalurkan dana bagi membiayai perjua­ngannya di Syria pada tahun 2013.

“Suspek pertama kali bertemu dengan Akel Zainal pada tahun 2009 dan terpengaruh dengan teori konspirasi perjuangannya. Sejak itu, suspek bersahabat baik dengan Akel Zainal dan membantu dari segi merekrut pengganas di negara ini menerusi media sosial,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, lima lagi suspek ditahan dalam operasi di Selangor, Johor dan Sabah bermula 19 Disember 2018 hingga 28 Januari lalu.

Menurutnya, pada 19 Di­sember lalu di Klang, Selangor, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan kerana didapati menyokong kumpulan Daesh dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di Malaysia untuk men­yertai kumpulan pengganas.

“Kita kemudian menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 38 tahun yang bekerja di ladang sebuah negara luar dalam operasi di Sepang, Selangor pada 10 Januari lalu. Kedua-dua suspek telah ditahan di negara tersebut dan diusir pulang ke Malaysia kerana didapati memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh.

“Seorang daripada suspek juga telah menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria,” ujarnya.

Ujar Mohamad Fuzi, tangkapan seterusnya di Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Januari lalu membabitkan seorang buruh binaan warga Filipina yang merupakan anggota Abu Sayyaf Group (ASG) dan telah menyusup masuk ke negara ini sejak Mac tahun lalu secara tidak sah.

“Suspek berusia 21 tahun itu mempunyai kemahiran me­ngendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai hubu­ngan dengan pemimpin ASG di Selatan Filipina, Furuji Indama. Ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota ASG yang ditahan sejak 2017 seramai 39 orang.

“Tangkapan terakhir pula me­li­batkan seorang tukang rumah berusia 26 tahun berasal dari sebuah negara di Asia Selatan. Lelaki itu telah memberi perlindu­ngan kepada seorang individu dari sebuah negara Asia Selatan yang disenaraikan dalam Red Notice Interpol kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan,” jelasnya.

Tambah beliau, kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).