Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun itu ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Kota Tinggi, antara pukul 5.15 petang semalam hingga 3 pagi tadi.

"Susulan penahanan kesemua suspek, polis berjaya merampas sejumlah barang kemas yang dipercayai dirompak dalam kejadian berkenaan, namun anggaran nilainya belum dapat dipastikan.

"Turut dirampas sepucuk pistol jenis airsoft gun serta dua buah kereta jenis Honda yang digunakan dalam kejadian tersebut," katanya dihubungi, di sini sebentar tadi.

Akhbar semalam melaporkan sekumpulan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol serta tukul besi melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM130,000, dalam kejadian pukul 7.23 malam, ketika umat Islam berbuka puasa. - UTUSAN ONLINE