Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 24 serbuan dijalankan dan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 1,521.75 gram dianggarkan bernilai RM187,762.50.

“Kesemua yang ditahan itu berumur antara 17 hingga 62 tahun. Daripada jumlah itu, 46 adalah warga tempatan dan 12 lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Habibi memberitahu, serbuan itu dijalankan hasil daripada risikan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu serta maklumat awam berhubung lokasi dipercayai menjadi tempat aktiviti pengedaran dadah.

“BSJN IPD Kota Kinabalu sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan untuk menangkap dan mendakwa semua individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Usaha ini akan diteruskan demi kesejahteraan dan ketenteraman awam. Oleh itu, kerjasama orang ramai diperlukan dengan memberi maklumat kepada polis,” ujarnya.

Tambahnya, polis akan meneruskan usaha membenteras pengedaran dan penagihan dadah, serta kerjasama daripada orang ramai amat dialukan-alukan dengan menyalurkan maklumat ke talian 088-529220, 088-529211, Whatsapp 019-2182729 dan laman Facebook polis daerah. - BERNAMA