Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd Rahman berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan dan serbuan sepasukan pegawai penguatkuasa ke atas sebuah premis runcit menjual LPG di Kampung Bechah Keranji di sini kerana disyaki menyimpan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah lori dalam Ops Gasak III tersebut yang bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 8.00 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati premis tersebut mempunyai lesen menjual runcit namun apabila pemeriksaan lanjut dibuat kita dapati stok simpanan oleh pemilik premis adalah melebihi had kuantiti yang dibenarkan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana mempunyai barang kawalan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Adnan adalah Pengarah KPDNHEP negeri yang baharu dan mula bertugas bulan lalu menggantikan tempat Khalid Tik yang berpindah ke Perak. - UTUSAN ONLINE