Pengerusinya, S. Kogilavani berkata, signifikan langkah tersebut diambil bagi memelihara semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan sekitar.

"Semenjak kebelakangan ini, kita lihat semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat agak muram. Jadi, kita hendak tanam semangat kibarkan Jalur Gemilang ini.

"Sebagai anak Malaysia yang membesar di sini, semangat patriotisme perlu dipelihara. Jangan ada masalah antara kaum kerana ini bakal menjadi virus kepada keamanan negara kita," katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.

Persatuan Kepolisian Taman Nesa menyampaikan sumbangan 62 bendera bersaiz besar dan 192 bersaiz kecil kepada ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad.

Kogilavani berkata, inisiatif yang pertama kali dibuat itu disambut baik oleh pihak IPD Johor Bahru Utara sekali gus merapatkan hubungan dengan badan berkenaan.

Pihaknya juga akan menyerahkan sumbangan 200 unit bendera kepada penduduk di kawasan di Taman Nesa dalam masa terdekat. - UTUSAN ONLINE