Ketua Polis Negara, Tan sri Mohamad Fuzi Harun berkata, daripada jumlah yang direkodkan sehingga kelmarin itu, sebanyak 472 laporan dibuat atas hantaran menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terutama oleh pengendali laman sosial Facebook Sabah-Sarawak Merdeka.

Katanya, usaha sedang diperhebatkan bagi mengesan pengendali laman sosial berkenaan yang melakukan perbuatan melampau dan tidak bertanggungjawab itu.

“Bukan sahaja dengan kerjasama agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) malah kita turut kemukakan MLA (Bantuan Perundangan Bersama) bagi mendapatkan bantuan pusat Facebook.

“Kita mengesyaki pengendali laman sosial tersebut berada di luar negara dan membuat hantaran melalui domain dan alamat protokol internet (IP) dari luar negara.

“Apabila berada di luar negara, kemampuan kita terhad dan memerlukan bantuan rakan-rakan daripada negara luar untuk membantu mengesan mereka yang membuat hantaran tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara bagi Kontinjen Perak 2019 di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE