Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi pada 30 Julai itu, kesemua suspek berusia 23 hingga 32 tahun ditahan susulan aduan kes penipuan yang dibuat seorang mangsa pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengiklankan pinjaman wang melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa.

"Bagaimanapun pinjaman ini sebenarnya tidak wujud dan mangsa akan menyedari mereka tertipu selepas memasukkan wang ke dalam akaun suspek," katanya di sini hari ini.

Anbalagan berkata, menerusi laporan dibuat seorang mangsa pada April lalu, suspek didapati menghantar iklan pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah kepada sehingga menyebabkan mangsa tertarik.

Jelasnya, mangsa kemudiannya berminat membuat pinjaman berjumlah RM1,000 dan memberi butiran seperti nombor kad pengenalan serta akaun bank kepada suspek.

"Suspek memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun mangsa tanpa persetujuan serta tanpa pengetahuan mangsa dan kemudian suspek mendesak mangsa untuk membuat pembayaran semula pinjaman sebanyak RM1,200," katanya.

Tambah beliau, oleh kerana bimbangkan keselamatan dan sering didesak oleh suspek, mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun suspek lalu membuat laporan polis.

Dalam pada itu, katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek didapati menggunakan modus operandi yang sama dalam kesemua lapan kes penipuan itu yang dianggarkan menyebabkan kerugian sehingga RM98,000.

"Pihak polis turut merampas 21 buah telefon bimbit dan 26 kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipercayai bukan milik suspek.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951," katanya. - UTUSAN ONLINE