Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, dalam serbuan bermula pada 8 pagi hingga 9 malam itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM37,069 dirampas.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sekitar Taman Anggerik, polis menahan dua lelaki dan merampas dadah dipercayai jenis ganja seberat 935.89 dengan anggaran nilai RM3,800.

“Serbuan kedua di bandar Kluang, seorang lelaki ditahan dan polis menemukan dadah dipercayai jenis heroin seberat 1.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM30,925.

“Polis turut merampas dua buah kenderaan masing-masing jenis Proton Wira dan Toyota Innova dengan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM32,300,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, dalam serbuan ketiga, polis menahan seorang lelaki dan wanita di sekitar Taman Sri Impian membabitkan rampasan dadah jenis heroin seberat menerusi 93.78 gram bernilai RM2,344.50, polis turut menemukan wang tunai RM500.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 56 tahun itu turut positif dadah masing-masing dua lelaki dipercayai jenis Tetrahydrocannabinol (THC) manakala selebihnya dipercayai positif dadah jenis morphine.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE