Mereka yang ditahan menerusi Op Samseng itu merupakan tiga pelajar sekolah agama dan dua pelajar sekolah menengah manakala seorang lagi peniaga berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, operasi itu digerakkan hasil risikan dan pemerhatian pihaknya terhadap beberapa kumpulan yang sering menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di lebuh raya itu.

Katanya, kumpulan ‘mat rempit’ itu menunggang bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke tempat pusingan-U berdekatan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dengan melakukan beberapa pusingan.

“Polis bertindak mengekori kumpulan motosikal tersebut sebelum kesemua suspek berhenti di kawasan rehat dan rawat Bagan Ajam, Butterworth sebelum berjaya menahan mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Noorzainy berkata, kelima-lima remaja berkenaan merupakan pelajar di dua buah sekolah di Kedah iaitu sekolah agama di Kulim dan sekolah harian biasa di Lunas.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE