Kapal yang membawa seorang tekong berusia 30 tahun bersama empat awak-awak berumur antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan pada kedudukan 27.1 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi di sini.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kapal itu dikesan oleh kapal KM Marlin yang sedang membuat rondaan Op Redback XII dalam keadaan mencurigakan.

“Setelah diperiksa, kesemua yang berada di atas bot itunmengaku berasal dari Indonesia dan mereka gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah.

“Bot tersebut ditahan bersama hasil tangkapan ikan seberat 60 kilogram dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Beberapa peralatan menangkap ikan turut dirampas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 15 (1) (a) kerana kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan.

Jika sabit kesalahan, tambahnya, tekong kapal itu boleh didenda maksimum sehingga RM1 juta manakala RM100,000 bagi setiap awak-awak.

“Maritim Malaysia akan sentiasa meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang terutama di kawasan titik panas sempadan perairan negara bagi mengelak aktiviti pencerobohan haram terus berleluasa,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta segera menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing atau kecemasan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-26261. - UTUSAN ONLINE