Operasi tersebut bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 2 petang memeriksa 23 buah premis perjudian berlesen di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, kesemua lima lelaki berusia antara 28 hingga 64 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 atas kesalahan berjudi.

Katanya, dua daripada mereka yang berusia 28 dan 63 tahun ditahan dis ebuah premis perjudian di Taman Debunga, Merlimau dan telah diminta hadir ke  pejabat JAIM.

"Dalam dua serbuan lagi iaitu di sebuah agensi pusat ramalan di Jalan Ong Kim Wee dan Jalan Tun Perak, Gajah Berang, kita menahan dua lelaki berusia 40 dan 59 tahun.

"Satu lagi serbuan di agensi pusat ramalan di Taman ASEAN, seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun yang berasal dari Paya Rumput telah ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rahimin, mereka yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, katanya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia kerana disyaki cuba membuat sogokan kepada pegawai penguat kuasa dan memiliki bahan-bahan lucah yang menyalahi Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, JAIM juga menampal beberapa poster pencegahan judi di tempat-tempat tumpuan orang ramai bagi menimbulkan kesedaran mengenai larangan berjudi.

"Pihak kami akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang syariah di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 dan mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan sebarang aktiviti yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,' katanya. - UTUSAN ONLINE