Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, rampasan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap barang pos seperti bungkusan milik warga tempatan di pejabat pos berkenaan pukul 2.30 petang semalam.

Tambahnya, hasil pemeriksaan menemukan produk makanan haiwan mentah sebanyak 440 paket seberat 35.20 kilogram bernilai RM1,680 tanpa sebarang dokumen seperti import permit (IP).

"Antara jenis makanan haiwan yang dirampas adalah snek seperti Sweet Potato Chewing, Deer Jerky; Horse Jerky; Duck Wing; Dried Pollac, Pig Ear Slice; White Fish dan Dental Gum serta banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zarina, Maqis negeri telah mengeluarkan kompaun kepada individu tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya selain diberi peringatan supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Kata beliau, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Ini bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat untuk dimakan," katanya. - UTUSAN ONLINE