Tiga operasi tersebut ialah Operasi Bersepadu Siri 24/2018 , 25/2018 dan Op Tiong Siri 4/2018 yang turut disertai beberapa agensi lain termasuklah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Imigresen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, antara kawasan operasi ialah di Chow Kit, Wangsa Maju, Terminal Bersepadu Selatan, Brickfields dan Dang Wangi.

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 206 ialah warga negara Bangladesh, Myanmar (76), Indonesia (47), Nepal (32) India (26), Pakistan (18), Nigeria (16) dan masing-masing seorang dari Filipina, Zimbabwe, Sri Lanka dan Uganda.

“Kesemua yang ditahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah dan juga akta lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, daripada jumlah keseluruhan tangkapan itu, sebanyak 13 lelaki dan dua wanita warga Nigeria serta seorang wanita Uganda telah ditahan kerana terlibat dengan tujuh kes penipuan yang berbeza.

Jelasnya, kesemua mereka ditahan sewaktu Op Tiong dan telah dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, di sini untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan permasalahan berkaitan PATI boleh menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 sambungan 584/585 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. - UTUSAN ONLINE