Suspek berusia antara 16 hingga 27 tahun itu ditahan dalam serbuan antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua beradik berusia 16 dan 20 tahun di sebuah rumah di Cherok Tok Kun.

"Polis turut merampas dua buah motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang selain enjin, rangka, rim dan ekzos motosikal di rumah mereka.

"Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Alma Jaya dan menahan suspek ketiga berusia 27 tahun dan merampas sebuah motsikal Honda EX5 serta menahan suspek keempat berusia 16 tahun di Taman Pinggiran Alma," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal ke atas kesemua suspek mendapati mereka mengaku terlibat dalam kegiatan itu.

"Suspek yang ditahan di Taman Alma Jaya dan Taman Pinggiran Alma mencuri motosikal berkenaan manakala dua beradik yang ditahan di Cherok Tok Kun terlibat meleraikan komponen motosikal," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE