Modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai kanan polis sebelum menghubungi mangsa dan memperdayakannya supaya menyerahkan wang.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, selepas dihubungi suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dengan institusi kewangan.

"Seterusnya panggilan yang dibuat akan disambungkan kepada 'Ibu pejabat Polis' di mana suspek akan menyamar sebagai pegawai polis dan menyatakan mangsa terlibat dengan kes jenayah seperti penggubahan wang haram, penyeludupan dadah dan lain-lain jenayah.

"Suspek akan menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes itu dengan meminta mangsa membuat bayaran wang jaminan," katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa membuka akaun dengan bank dan menyerahkan butiran akaun seperti no pin transaksi perbankan internet bagi membolehkannya membuat pengeluaran wang daripada akaun itu ke akaun pihak ketiga.

Zakarian menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan sedemikian supaya memaklumkan kepada pihak polis dengan segera dan tidak mengikut apa yang disuruh. - UTUSAN ONLINE