Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yassin berkata, kenderaan klon yang kebanyakannya melibatkan kereta mewah itu dikesan diklon dan dibawa masuk dari negara jiran khususnya Singapura antaranya jenis Honda Odyssey, Honda Jazz, Honda City selain Mini Cooper.

Beliau memberitahu, kesemua 307 kenderaan klon itu akan dilelong kepada awam secara berperingkat atau dua kali setahun dengan lelongan 20 buah kenderaan pertama bakal dibuka kepada awam pada 30 Jun ini di Depoh JPJ Terengganu bermula kira-kira pukul 9 pagi.

Jelas beliau, 20 buah kenderaan yang bakal dilelong itu merupakan antara 47 buah kenderaan yang telah disita yang turut akan dilelong pada 30 Jun nanti.

“Kenderaan klon yang akan disita pada 30 Jun ini ialah lima buah kereta Honda Odyssey, Honda Jazz (empat buah), Honda Stream (tiga buah) Toyota Wish (dua buah), masing-masing sebuah Subaru Impreza, Subaru Forester dan Nissan Sentra.

“Terengganu antara negeri tertinggi mencatatkan kenderaan klon dan ia berlaku dipercayai ada tawaran harga murah dan menarik. Jadi kita nasihatkan para pembeli agar periksa betul-betul kenderaan dan datang ke JPJ untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE