Dalam serbuan bermula kira-kira pukul 11.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hasil maklumat dan risikan.

Hasil serbuan itu, mereka yang ditahan terdiri 22 wanita warga asing termasuk empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 42 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, menerusi operasi itu, mereka yang ditahan merupakan 18 wanita warga China, Vietnam (3) dan Korea Selatan (1) yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

Ujarnya, hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah.

“Selain mereka, kita turut menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang penjaga premis tersebut dan tiga daripadanya turut didapati positif dadah jenis ketamin,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamed Mokhsein, hasil pemeriksaan lanjut, kesemua wanita terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial namun telah tamat tempoh.

“Sehubungan itu, kesemua wanita itu kita tahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.

“Empat lelaki warga tempatan itu pula ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE