Mereka ditahan dalam dua operasi berbeza Op Naga Barat, masing-masing pada pukul 6.52 pagi dan 8.48 pagi oleh krew Kapal Maritim (KM) Jujur diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Maritim Mohd. Pazrul Niza Mohd. Mustapa.

Nilai bot termasuk peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dirampas dianggarkan bernilai RM85,000.

Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, kesemua warga Vietnam terbabit berusia dalam lingkungan 23 hingga 45 tahun.

”KM Jujur menghadapi kesukaran untuk membawa balik salah satu bot yang ditahan kerana mengalami kerosakan dan kebocoran selain faktor cuaca buruk.

“Bot tersebut tersebut dibiarkan tenggelam atas faktor keselamatan namun tetap menahan nelayan dan tekongnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia di Tok Bali, di sini hari ini.

Menurutnya, sebuah lagi bot dan kesemua 25 nelayan Vietnam itu tiba di Jeti Maritim Malaysia di Tok Bali awal pagi ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

“Setakat ini, Maritim Malaysia Kelantan sudah menerima 15 kes perlanggaran undang-undang yang mana 10 kes melibatkan tangkapan bot nelayan asing, tiga kes bot nelayan tempatan dan dua kes yang melibatkan penyeludupan rokok.- UTUSAN ONLINE