Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, penceramah bebas itu tidak akan dibenarkan mengadakan program di negeri ini kerana tidak mahu mencetuskan kontroversi hingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum.

Bagaimanapun, katanya, keputusan penuh sama ada untuk membenarkan atau melarang program yang melibatkan Zakir diadakan adalah terletak kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Di peringkat polis, kita akan memberi nasihat yang sewajarnya daripada sudut keselamatan kepada pihak JAINJ.

“Sebarang pelaksanaan atau penganjuran ceramah agama di negeri ini perlu dipastikan tidak akan mengakibatkan keruntuhan moral dan perseteruan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa. kita akan pastikan apa jua agenda yang menjurus ke arah menjaga keharmonian masyarakat diteruskan,” katanya ketika ditanya mengenai sama ada polis Johor akan mengikuti jejak polis Melaka yang tidak membenarkan Zakir berceramah di negeri ini.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor daripada beliau kepada Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu Datuk Shafie Ismail.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin berkata, setakat ini, tiada pihak yang membuat permohonan untuk mengadakan ceramah melibatkan pendakwah itu di negeri ini. - UTUSAN ONLINE