Operasi yang dilancarkan pukul 10 malam dan berakhir dua jam kemudian turut menyaksikan 302 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, operasi berkenaan merupakan kesinambungan dua Op Tutup lalu bagi mengesan penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang enggan mematuhi undang-undang lalu lintas.

“Dalam operasi yang kita lancarkan di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut ini masih ada kesalahan sama dikesan seolah-olah mereka ini gagal memahami peraturan undang-undang.

“Ini termasuklah memandu kenderaan dan menunggang motosikal tanpa lesen, mengubah suai nombor pendaftaran kenderaan dan lain-lain kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Nadzri, dalam operasi ini juga polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 400 kenderaan majoritinya penunggang motosikal dalam mengesan pengguna jalan raya yang ingkar dalam mematuhi peraturan. - UTUSAN ONLINE