Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, dua wanita warga Indonesia itu ialah Raisa Rinda Salma, 24, dan Dessy Meyrisinta, 33.

“Raisa Rinda memegang pasport bernombor B2421541 manakala Dessy Meyrisinra (B0464727). Kedua-dua mereka yang beralamat terakhir di Hotel Flamingo, Ampang tidak dapat dihubungi.

“Pihak polis memerlukan wanita berkenaan untuk hadir bagi menjadi saksi bagi perbicaraan kes bunuh Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Fadzil berkata, sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita berkenaan diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam di talian 017-655 6575 dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh Jong-Nam atau Kim Chol yang juga abang Presiden Korea Utara Kim Jong-un, tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 1, 5, 7, 8, 12, dan 13 November serta antara 12 dan 14 Disember ini sebagai tarikh untuk Siti Aisyah membela diri manakala 7 dan 10 Januari, 28 hingga 31 Januari serta antara 18 dan 20 Februari tahun depan untuk Doan membela diri.

Siti Aisyah dan Doan didakwa bersama empat individu yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari 2017.