Mereka ditahan di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan dekat sini oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik ibu pejabat polis negeri.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, daun ketum yang dibungkus di dalam 12 plastik hitam itu ditemukan di dalam bonet kenderaan suspek.

Katanya, siasatan mendapati daun ketum itu cuba untuk dipasarkan di sekitar negeri ini dengan nilai pasaran kira-kira RM1,800.

“Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama empat hari bermula hari ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar bekalan daun ketum di sekitar daerah ini.

“Sehubungan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan daun ketum di daerah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE