Kejadian bermula kira-kira pukul 3.40 pagi apabila orang awam menyedari kegiatan jenayah kedua-dua suspek serta seorang lagi rakan subahatnya dan kemudiannya menghubungi polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, anggota dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang pergi ke lokasi kejadian berjaya menemukan suspek-suspek tersebut.

Menurutnya, ketika itu mereka cuba melarikan diri menuju ke lebuh raya berhampiran.

“Anggota kita cuba menahan mereka tetapi mereka bertindak agresif dan cuba melawan dengan menggunakan parang sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan. Dua daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi telah melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Wan Ahmad memberitahu, ke­semua suspek berumur lingku­ngan 30-an dan identiti mereka belum dikenal pasti.

Ujarnya, polis bagaimanapun berjaya merampas pisau celorek, parang dan alat pecah rumah milik penjenayah terbabit.

“Pemeriksaan pada badan suspek yang maut tidak menemukan apa-apa pengenalan diri dan kita sedang mengenal pasti identiti mereka.

“Namun suspek dipercayai ahli Geng Rantau dan kita juga sedang siasat kaitan kumpulan ini dengan tujuh kes pecah rumah serta samun yang berlaku di sekitar kawasan perumahan ini sejak awal tahun ini,” katanya.

Tambah Wan Ahmad, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah.