Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 25 tahun ditangkap pengusaha sarang burung walit berusia 29 tahun yang menyedari bangunannya dipecah masuk selepas alat penggera keselamatan berbunyi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, pemilik itu yang mengalami kerugian kira-kira RM3,000 kemudiannya menghubungi polis sebelum menyerahkan kedua-dua suspek untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek mengggunakan tali panjang untuk memanjat naik dan menceroboh melalui lubang keluar masuk burung walit di tingkat tiga bangunan tersebut.

"Sehubungan itu, kita merampas satu bungkus plastik berwarna hijau mengandungi sarang burung walit disyaki dicuri; seutas tali; batang besi boleh laras; dua unit sarung muka; sebiji biji lampu suluh; sebuah beg galas dan dua unit alat yang diubah suai untuk mengambil sarang burung.

"Kesemua barang rampasan itu dibawa ke ibu pejabat polis SPU untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis methapethamine dan pihaknya kini sedang memeriksa sama ada mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman di Mahkamah Butterworth bagi tujuan siasatan. - UTUSAN ONLINE