Slug:Ops raya.KEPALA BATAS - 31 MEI 2019 - KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor.Gambar: Sazali Che Din.Pemberita: Khuzairi Ismail (Utusan Malaysia).

Kejadian pertama melibatkan seorang pekerja kilang berusia 51 tahun yang menerima panggilan daripada individu yang mendakwa anggota polis dari ibu pejabat polis Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa didakwa kononnya terlibat dalam kes jenayah dadah serta pengubahan wang haram dan seorang suspek yang dikaitkan dengan mangsa juga telah ditahan.

Katanya, akibat terlalu takut dengan maklumat diterima, mangsa kemudian mengikut arahan pemanggil berkenaan untuk memindahkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam satu akaun kononnya bagi tujuan siasatan dan keselamatan.

Jelas beliau, kes kedua pula membabitkan seorang kakitangan awam di sebuah jabatan kerajaan yang kerugian RM4,700 selepas menerima panggilan serupa kononnya dia terlibat dengan pengubahan wang haram dan disambungkan ke ibu pejabat polis Pahang.

"Mangsa kemudiannya membuat transaksi pindahan ke satu akaun seperti diarahkan kononnya bagi tujuan siasatan dan untuk dipindahkan kepada Jabatan Audit Negara.

"Dalam kedua-dua kes ini, mangsa diingatkan supaya tidak memaklumkan kepada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga memandangkan mangsa adalah suspek dan perlu memberi kerjasama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kedua-dua mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas yakin tertipu dan terpedaya dengan sindiket Macau Scam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau terus menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati serta tidak mudah terpedaya dengan muslihat dan tipu helah sindiket.

Katanya, orang ramai diingatkan tidak sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya menghubungi polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

"Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad ATM atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali," katanya. - UTUSAN ONLINE