NOORZAINY MOHD. NOOR

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa pertama iaitu seorang suri rumah berusia 47 tahun kerugian RM15,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam.

Kata beliau, mangsa pada mulanya dihubungi individu yang mendakwa namanya digunakan untuk mendaftar bagi talian telefon sebelum disambungkan kepada pejabat polis di Kuala Lumpur untuk membuat laporan secara online.

Bagaimanapun, tambahnya, ketika semakan ke atas nombor pengenalan mangsa dibuat, dia didakwa kononnya terlibat dalam kes berkaitan dadah dan pengubahan wang haram.

Jelasnya, mangsa kemudiannya diminta memasukkan wang ke dalam sebuah akaun bagi tujuan siasatan dan disebabkan takut telah mengikuti arahan itu dengan memindahkan RM15,000 dalam satu transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

"Mangsa kemudiannya menyedari menjadi mangsa Macau Scam selepas menceritakan perkara tersebut kepada ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian kedua pula, menurut Noorzainy, seorang peniaga berusia 32 tahun kerugian RM4,380 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud menerusi Facebook.

Menurut beliau, mangsa pada mulanya berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM30,000 dan meninggalkan nombor telefon pada iklan pinjaman peribadi yang dilihatnya di Facebook.

Katanya, mangsa dihubungi ejen pinjaman itu dan selepas dimaklumkan tidak perlu membayar apa-apa untuk mendapatkan pinjaman, mangsa kemudiannya bersetuju meskipun pada mulanya keberatan.

"Bagaimanapun, mangsa diminta membuat pelbagai pembayaran bagi kelulusan pinjaman itu dan memindahkannya kepada dua akaun berbeza diberikan suspek sebelum menyedari telah tertipu dan membuat laporan polis," katanya.

Menurut Noorzainy, kedua-dua kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik ketika menerima panggilan daripada individu tidak dikenali sebaliknya menghubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk pengesahan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang tawaran pinjaman yang diiklankan menerusi Facebook sebaliknya terus berurusan dengan agensi kewangan yang sah. - UTUSAN ONLINE