Kedua-dua anggota polis yang berusia 28 dan 25 tahun itu ditahan hari ini susulan aduan daripada pemandu lori tersebut yang mendakwa kedua-dua anggota polis berkenaan meminta RM2,000 untuk menyelesaikan kes judi haram yang didakwa membabitkannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemandu lori itu mendakwa dia ditahan kedua-dua anggota tersebut ketika sedang menunggang motosikal di Lorong Hijau 3, Jelutong, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

"Mangsa mendakwa anggota polis berkenaan memintanya untuk hadir ke Balai Polis Jelutong kerana disyaki menjalankan kerja menulis judi ekor haram.

"Bagaimanapun, mangsa menafikan dia terlibat dengan kerja berkenaan lalu diminta untuk menyerahkan RM2,000 kepada anggota polis bagi menyelesaikan kes tersebut," katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, anggota polis berkenaan telah meminta pemandu lori itu ke bank untuk mengambil wang seperti yang diminta.

"Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan hanya mempunyai RM400 di dalam bank dan dia telah menyerahkan wang tersebut kepada salah seorang anggota polis terbabit.

"Selain itu, pemandu lori berkenaan juga telah menyerahkan dompet serta telefon bimbit kepada anggota polis berkenaan," katanya.

Tambahnya, kedua-dua anggota polis yang ditahan itu akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE