Mereka termasuklah tiga remaja bawah umur di samping dua wanita dikesan terbabit dengan gejala itu selepas saringan ujian air kencing dilakukan daripada sejumlah 214 individu yang diperiksa.

Operasi bersepadu yang dinamakan Ops Perdana itu disasarkan di kawasan kediaman dan lokasi mereka melepas gian berasaskan aduan-aduan dan maklumat yang diterima.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Wan Jailani Wan Ismail berkata, operasi bersepadu kali pertama tahun ini dilakukan di daerah ini, Besut, Dungun dan Kemaman, berakhir tengah hari ini.

“Kita berjaya menahan seramai tiga penagih bawah umur, 136 penagih berusia 19 hingga 39 tahun dan 48 penagih berusia 40 tahun ke atas yang kesemuanya merupakan warga tempatan termasuk dua wanita.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati 126 penagih tersebut positif dadah jenis metamphetamine, 55 positif dadah jenis opiat serta enam orang penagih amphetamine,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE