Ketua Polis daerah, Superintenden Nur Muhd Hishamuddin Hashim berkata, serbuan di lokasi dikenali ‘pot belakang pos’ itu dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, apabila tiba di lokasi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol ternampak tiga lelaki duduk menghadap satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran anggota polis, mereka cuba melarikan diri dan bergelut dengan anggota polis. Dalam pergelutan itu tiga anggota polis mengalami luka di tangan dan kaki.

“Ketiga-tiga suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik berisi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 12.5 gram di dalam sebuah beg pinggang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nur Muhd Hishamuddin berkata, kira-kira pukul 12.45 tengah malam, polis menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal masuk ke kawasan itu dan pemeriksaan menemukan satu paket plastik berisi bahan disyaki syabu dianggarkan seberat 0.5 gram di dalam beg silangnya.

“Polis kemudian menahan 11 lagi lelaki yang masuk ke kawasan itu dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah,” ujarnya.

 

Katanya, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,985 dan hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang diberkas itu positif methampethamine.

Beliau berkata, kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 33 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE