Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata,  dalam operasi di sebuah pusat beli belah di Jalan Dr. Lim Chwee Leong kira-kira pukul 2 petang tadi, pihaknya turut memberkas dua lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis berkenaan yang merupakan pusat hiburan keluarga.

Katanya, seramai 12 individu termasuk tiga wanita yang leka bermain judi mesin simulator turut ditahan.

"Polis turut merampas sebanyak 26 mesin simulator, tiga mesin dart, tiga set komputer serta wang tunai berjumlah RM12,170," katanya, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - UTUSAN ONLINE