Dalam serbuan berasingan yang diadakan serentak bermula pukul 3 petang itu, pihak berkuasa turut menahan empat lelaki yang sedang leka bermain judi.

Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nazri Hussin berkata, hasil risikan serta maklumat awam, pihaknya menyerbu lima premis iaitu di Bukit Tinggi, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Taman Klang Jaya dan Taman Sri Muda.

“Selain tangkapan, kita merampas 52 komputer riba, sembilan modem, empat mesin simulator, dua set komputer dan cip kredit serta wang tunai RM859 hasil aktiviti tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Nazri berkata, kesemua premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan mengesan atau memantau kehadiran pihak berkuasa selain setiap pintu masuk dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh.

“Malah, salah sebuah premis yang diserbu juga baru memulakan aktiviti perjudian sejak tiga hari dan selebihnya kira-kira dua bulan lalu.

“Kita menganggarkan purata kutipan pertaruhan harian antara RM1,000 hingga RM2,000, manakala bagi mingguan pula mampu mencecah sehingga RM15,000,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) dan 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) dan 55B Akta Imigresen 1959/63. - UTUSAN ONLINE