Rampasan itu dibuat menerusi pemeriksaan oleh empat Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Seberang Perai Tengah (SPT) yang menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan di sekitar SPT pukul 10 pagi semalam.

Menurut Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung, semua produk yang disita itu disyaki menggunakan perihal dagangan palsu dan meragukan.

Sehubungan itu, tambah beliau, siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengesan pembekal produk tersebut.

“Sejak 23 Julai lalu sehingga kini, PPDNHEP negeri telah melakukan sebanyak 59 pemeriksaan di premis untuk mengesan produk Ghost Smoke Cool Fruit Powder.

“Pemeriksaan dijalankan di semua peringkat antaranya pemborong, peruncit dan penjaja di sekitar kawasan sekolah di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, PPDNHEP negeri akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa berhubung aktiviti penjualan Ghost Smoke Cool Fruit Powder dan meminta orang ramai memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berkaitan penjualannya di sekitar kawasan kediaman mereka.

Dalam masa sama, tegasnya, para peniaga juga dinasihatkan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 (1) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya bagi syarikat.

 

Tambahnya, bagi perniagaan milikan tunggal pula, kesalahan itu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya pula, pemilik perniagaan boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE