Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kesemua mereka yang masih bersekolah ditahan secara berasingan sejak Rabu hingga hari ini bagi membantu siasatan.

“Polis melakukan Op Remaja bagi menangkap kesemua suspek, empat daripada mereka dicekup di sekolah manakala selebihnya di rumah masing-masing.

“Pada Selasa lalu, polis menerima maklumat daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini memaklumkan terdapat seorang pesakit perempuan berumur 13 tahun yang disyaki dirogol,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Abdul Wahib berkata, mangsa yang tinggal bersama-sama datuknya turut mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan lebih 10 rakan lelakinya sejak hujung tahun lalu termasuk secara bergilir-gilir.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE