Pengarah Maritim Malaysia Zon Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, dalam serbuan pukul 4.25 pagi itu, anggotanya turut merampas bot bersama 200 kilogram ikan dianggarkan bernilai RM200,000.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya yang menaiki sebuah kapal peronda sedang menjalankan operasi dinamakan Op Permai sejak Ahad lalu, apabila berjaya mengesan bot nelayan asing terbabit di kedudukan kira-kira 2 batu nautika dari kapal mereka.

“Kehadiran bot nelayan asing itu dikesan kira-kira pukul 4 pagi dan apabila berjaya dirapati selepas 25 minit kemudian, pasukan Maritim Malaysia mendapati nelayan terbabit telah melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini tanpa kebenaran Jabatan Perikanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati kesemua nelayan Vietnam berusia 16 hingga 52 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kesemua mereka telah ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE