Pendapatan bulanan pula, hanya cukup-cukup makan antara RM500 hingga RM600.

Itu nasib ditempuh oleh kira-kira 200 orang nelayan dari Kuala Sungai Baru di sini pada masa ini, apabila kawasan penangkapan ikan di Zon A iaitu kira-kira 3.6 kilometer dari pantai berkenaan diceroboh oleh nelayan bot siput retak seribu.

Golongan itu mendakwa operasi bot siput retak seribu yang disyaki dilakukan nelayan warga asing telah mengakibatkan pencemaran dan sekali gus mengurangkan hidupan laut di persisiran.

Ini seterusnya menyebabkan nelayan mengalami kerugian kerana kekurangan hasil tangkapan.

Selain itu, pencerobohan bot siput retak seribu ini juga menyebabkan pukat yang digunakan oleh para nelayan mudah rosak.

Dakwa nelayan, berpuluh-puluh bot berkenaan dikatakan melakukan pencerobohan itu antara pukul 8 malam sehingga pukul 6 pagi keesokannya.

A
 

Nelayan, Abu Bakar Saad, 63, berkata, masalah tersebut bukan baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama

Katanya, apa yang dikesalkan adalah apabila penguatkuasaan daripada pihak bertanggungjawab dilihat tidak tegas sehingga bot berkenaan bebas melakukan pencerobohan di kawasan itu.

Nelayan dari Kuala Sungai Baru itu juga berharap agar kerajaan segera campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut yang telah menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kadang-kala kami balik tangan kosong apabila tiada hasil tangkapan. Meskipun bot berkenaan tidak dibenarkan di perairan di negeri ini, namun mereka terus ingkar. Akibat masalah itu juga, kami hanya mampu memperolehi pendapatan bulanan sekitar RM500 ke RM600 sahaja.

“Bagaimana hendak makan, sara keluarga dengan pendapatan seperti ini. Tolonglah selesaikan masalah pencerobohan bot siput retak seribu dan bot pukat tunda buaya ini.

“Difahamkan aktiviti tersebut dilakukan oleh nelayan dari Kedah dan Thailand,” katanya dalam nada kecewa ketika ditemui di sini hari ini.

B
 

Seorang lagi nelayan, Kasa Derani,61, berkata, meskipun banyak aduan dilakukan namun pihak bertanggungjawab dilihat masih gagal menyelesaikan masalah ini atau menangkap mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

“Berikutan pendapatan yang tidak seberapa itu, kami terpaksa melakukan pelbagai kerja lain bagi menampung perbelanjaan harian. Kira-kira 200 orang nelayan di sini bukan orang senang dan perlu diberikan perhatian dengan membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

C
 

Irwan Shah Abdul Jalil, 40, pula berkata, dia sering bertembung dengan nelayan bot berkenaan yang selalu beroperasi pada waktu malam sehingga awal pagi. -UTUSAN ONLINE