Kumpulan NF Mekar Jaya Enterprise yang terdiri daripada pelajar Sjil Asas Pemprosesan Makanan iaitu Nadzmil Fidzri AB. Rasid, 22; Farishah Zakaria, 20; Zulhelme Zainon, 20 dan Mohd. Hafiz Mohd. Nasir, 18, mengenengahkan produk mereka, 'MySignature Ice Cream' berjaya meraih pendapatan sehingga RM5,000.

Kesungguhan ditunjukkan para pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran itu berjaya menambat hati juri sekali gus dinobatkan sebagai pemenang Sijil Khas Juri yang julung kali diberikan.

Video oleh Mohamad Athir Ismail

Menurut Farishah, penganugerahan tersebut tidak dijangka apabila dia dan rakan sekelasnya itu sekadar menunjukkan minat dalam bidang perniagaan.

"Kami juga minat buat ais krim dan suka kepada kanak-kanak menyebabkan makanan itu menjadi pilihan sebagai produk untuk dijual.

"Kami akan teruskan perniagaan kerana selepas menyertai pertandingan banyak tempahan diperoleh bagi mereka yang mengadakan majlis keraian," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penyampaian Hadiah 'Cabaran Bisnes 90 Hari' hari ini.

Dalam pada itu, dia juga berhasrat mencari pekerja terdiri daripada mereka yang senasib dengannya.

Sementara itu, Pengarah KKA, Norasmah Saad berkata, penyertaan wakil daripada kolejnya adalah yang pertama kali terdiri daripada pelajar OKU untuk memberi peluang kepada mereka.

"Saya dimaklumkan oleh Pensyarahnya, Mawar Qadijah Ishak bahawa pelajar-pelajar berkenaan menunjukkan minat untuk berniaga dan dalam masa sama berkebolehan untuk menghasilkan ais krim.

"Justeru, mereka seharusnya diberikan peluang supaya dapat memberitahu orang ramai bahawa individu OKU seperti mereka juga mempunyai kebolehan untuk berniaga walaupun pada peringkat awal mereka tidak mempunyai keyakinan untuk menyertai pertandingan 'Cabaran Bisnes 90 Hari'," ujarnya. - UTUSAN ONLINE