Presidennya, Doktor Mohd. Daud Sulaiman dalam satu kenyataan kepada Utusan Online memberitahu, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, MRA telah melancarkan kempen Qurban Terbaik Aidiladha 1440 Hijrah.

Kempen ini, katanya, bertujuan membantu mereka yang memerlukan sama ada dalam mahupun luar negara khususnya golongan asnaf dan fakir miskin.

"Setiap tahun, 40,000 orang penerima dari 14 buah negara mendapat bantuan daging korban daripada program ini dan MRA menyasarkan jumlah korban sebanyak RM500,000 untuk disampaikan kepada penerima melalui enam pakej pilihan yang disediakan," katanya.

mra
 

Beliau berkata, istimewanya pada tahun ini, MRA akan menghantar dua orang petugas kemanusiaan ke Yemen bagi melakanakan program Qurban Terbaik MRA dan sehingga kini, 100 ekor kambing telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk diagih-agihkan kepada penduduk di sana pada Aidiladha nanti.

"Di samping itu MRA juga akan melaksanakan misi perubatan dengan menyumbang peralatan kelengkapan hospital seperti instrumen pembedahan am dan sakit puan, mesin ultrasound yang lengkah, mesin ECG yang baharu serta pelbagai kelengkapan diagnostik makmal.

"Segala kelengkapan perubatan itu dikhususkan kepada lima buah hospital di daerah Aden, Taiz, Abyan, Shabwah dan Maarib berdasarkan kepada permintaan pihak hospital Yemen sendiri bagi menggantikan peralatan-peralatan yang sudah terlalu uzur untuk digunakan dan rosak," ujarnya.

Katanya lagi, MRA juga akan memfokuskan un tuk meningkatkan lagi tahap kesihatan komuniti di daerah-daerah yang memerlukan manakala klinik khusus untuk kesihatan ibu dan kanak-kanak akan diwujudkan bagi memberi sokongan bantuan kepada klinik komuniti sedia ada.

Dr. Mohd. Daud menambah, bagi progam dalam negara pula, MRA akan meraikan golongan asnaf dan fakir miskin, masyarakat Orang Asli, komuniti pelarian dan golongan kurang upaya (OKU) melalui lapan buah cawangan MRA negeri yang ada di seluruh negara.

Sehubungan itu, MRA mempelawa mana-mana institusi masjid dalam negara yang mempunyai lebihan sumbangan lembu daripada jemaah untuk didermakan kepada MRA bagi tujuan korban.

Kepada sesiapa yang berminat untuk meraikan Qurban Terbaik Bersama MRA, boleh hubungi talian 03-91744672 atau 0133371672 ataupun layari www.mra.my atau Facebook Malaysian Relief Agency. - UTUSAN ONLINE