Video oleh Mohd. Hafiz Abd. Mutalib

Ketika usia mencecah 80 tahun, begitulah rutin warga emas ini setiap hari yang menyara hidup menggunting dan merapi rambut pelanggannya di sebuah kedai kecil di Jalan Sekolah Derma di sini.

Biarpun usia Pak Din atau nama sebenarnya Mohd. Noor Said sudah lanjut, namun dia masih bersemangat meneruskan kerjanya itu sejak 46 tahun lalu.

Pak Din adalah tukang gunting rambut paling lama dan tertua di negeri ini dan warga emas itu langsung tidak putus asa bersaing dengan kedai-kedai gunting rambut ‘Hipster’ atau ‘Barbershop’ yang tumbuh bak cendawan pada hari ini.

Dengan hasil titik peluh sebagai tukang gunting rambut itu jugalah Pak Din membesarkan lima orang anaknya sehingga menjadi insan berjaya dengan salah seorangnya pernah melanjutkan pelajaran ke Mesir sebelum ini.

Pak Din ketika ditemui berkata, dia mula menceburi kerjaya sebagai tukang gunting rambut sejak 1973 dengan kedai pertamanya di Bazar Melayu sebelum berpindah ke beberapa lokasi di sini.

Katanya, setiap hari, dia mampu menggunting rambut kira-kira lapan orang pelanggan dengan pendapatan anggaran RM40.

Ujarnya, ketika rakan-rakan seperjuangan lain ada yang sudah meninggal dunia dan bersara, dia sahaja kini yang tinggal sebagai tukang gunting rambut paling lama dan tertua di Perlis.

“Setiap hari pak cik buka kedai pada pukul 10 pagi seterusnya menanti pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas. Malah, anak-anak muda serta kanak-kanak juga ada menggunakan khidmat saya.

“Meskipun kedai gunting rambut kini dimonopoli oleh golongan muda dengan pelbagai gaya dan cara rambut namun saya masih bertahan dengan cara tradisional,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

MOHD. NOOR SAID, tukang gunting rambut paling tua di Perlis menunggu pelanggan di kedainya
MOHD. NOOR SAID, tukang gunting rambut paling tua di Perlis menunggu pelanggan di kedainya di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis hari.- UTUSAN ONLINE/Mohd. Hafiz Abd. Mutalib

Tambah Pak Din, dia mengenakan harga RM8 kepada setiap pelanggannya.

“Untuk kekal lama, kita mesti sentiasa bersabar dan bersyukur dengan rezeki Allah SWT. Kadang-kala kita dapat hasil banyak, kadang-kala sedikit, tetapi kita mesti bersyukur.

“Meskipun hanya bergelar tukang gunting rambut, namun pak cik dapat menyara kehidupan dan pendidikan anak-anak tanpa berhutang sedikit pun. Alhamdulilah kini, mereka (anak-anak) menjadi insan berjaya.

“Pak cik akan meneruskan kerjaya ini sehingga akhir nyawa kerana gunting rambut adalah jiwa saya selain meninggalkan banyak nostalgia,” katanya. - UTUSAN ONLINE