Mereka yang diketuai Zainuddin Zakaria, 39, serta Mohd. Alif Azri, 30, dan Amsyar Faiz Sharudin, 26, memulakan kayuhan dari Masjid Timah di sini sebelum dijangka menamatkan kayuhan sejauh 2,248 kilometer itu dalam tempoh 14 hari.

Zainuddin berkata, idea untuk memulakan program tersebut datang daripada guru mereka, Jafri Abu Bakar namun disebabkan jadual yang agak padat membuatkan pendakwah bebas terkenal itu tidak dapat meneruskan misi kayuhan berkenaan yang bertujuan berdakwah sambil menyebarkan keindahan Islam.

“Jadi demi merealisasikan hasrat tersebut, kami bertiga sepakat untuk meneruskan program Tour de Mosque ini dengan kos yang ditanggung sendiri oleh kami bertiga.

“Kami akan memulakan kayuhan di Masjid Timah seterusnya singgah di 14 buah masjid di seluruh Semenanjung sepanjang kayuhan, sebelum dijangka kembali ke Masjid Timah untuk menamatkan kayuhan ini 14 hari kemudian,” katanya ketika ditemui di Masjid Timah di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, setiap hari mereka akan mengayuh kira-kira 200 kilometer sehari dan memilih menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan kerana mahu menarik minat lebih ramai orang untuk ke masjid.

“Selain itu, sumbangan orang ramai yang sebelum ini membeli baju khas Tour de Mosque akan disumbangkan ke dalam tabung masjid yang menjadi tempat persinggahan kami nanti,” katanya.

PENASIHAT program Tour de Mosque, Jafri Abu Bakar (kiri) membaca doa selamat di Masjid Timah
PENASIHAT program Tour de Mosque, Jafri Abu Bakar (kiri) membaca doa selamat di Masjid Timah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum tiga peserta kayuhan Tour de Mosque memulakan kayuhan menjelajah 14 masjid di seluruh Semenanjung. - UTUSAN ONLINE

Tambahnya, selepas tamat program Tour de Mosque itu, mereka akan meneruskan pengembaraan ke Borneo serta Chiang Rai, Thailand dalam tempoh terdekat.

“Kami juga berhasrat untuk mengayuh basikal ke Mekah satu hari nanti dan kayuhan hari ini adalah permulaan kepada misi kayuhan lain yang sedang dalam perancangan kami,” katanya.

Dalam pada itu, penasihat program berkenaan, Jafri berkata, matlamat utama program berkenaan adalah untuk menyahut tuntutan supaya umat Islam mengembara sambil berdakwah serta beriadah.

“Ini bukan sekadar kayuhan basikal semata-mata, bukan sekadar kayuhan kepada diri sendiri tetapi kayuhan menuju jalan Allah SWT,’’katanya. - UTUSAN ONLINE

 

Video oleh Safina Ramli