Ini kerana, di sebalik kelembutan yang dimiliki Amalina Saharudin, 20, berjaya membunuh seekor binatang berbisa dipercayai ular senduk hanya menggunakan senduk, Isnin lalu.

Amalina berkata, dia bertindak sedemikian kerana binatang tersebut telah masuk ke rumah neneknya di Tanjong Karang, Selangor ketika dia sedang menjaga anak saudaranya.

“Semasa saya tinggalkan dia (anak saudaranya) sekejap untuk ke dapur, tiba-tiba ternampak seekor ular seperti ular senduk berada dekat dengan anak saudaranya dan kepala ular itu sudah menegak.

“Tanpa fikir panjang, saya mencapai senduk besar yang berada berdekatan sebelum membaling ke arah ular tersebut. Balingan tepat itu terkena kepala ular dan saya terus mengambil senduk yang sama lalu memukulnya sekuat hati.

“Kebetulan hari itu mood saya tidak berapa baik, jadi ular itulah menjadi mangsa untuk saya lepaskan geram,” katanya yang dipetik menerusi laporan mStar hari ini.

Amalina berkata, dia tidak menafikan insiden itu mengejutkan dia, namun tindakan itu dibuat kerana memikirkan keselamatan anak saudaranya.

“Ramai orang komen kata tidak elok bunuh ular dalam rumah, tapi pada saya kalau ular itu masuk tidak ada budak kecil mungkin ada cara lain untuk menghalaunya tetapi masa itu keselamatan anak saudara saya lebih utama.

“Lagipun saya tidak percaya benda karut itu semua memandangkan rumah nenek saya di kawasan bendang dan ketika ini musim panas, sudah tentu ada binatang berbisa mencari tempat sejuk kerana ini memang perkara biasa terjadi sebelum ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE