Walaupun perlu menggalas tanggungjawab berat, namun anak bongsu kepada pasangan Rahimi Saad, 62, dan Hasemah Mohamad, 68, dari Kampung Gong Limau, Cukai di Kemaman ini bersedia mengorbankan kudrat dalam menguruskan segala keperluan orang tuanya sepanjang di Tanah Suci.

Katanya, sebelum ini tahap kesihatan bapanya dalam keadaan baik, namun keadaan berubah apabila lelaki itu tiba-tiba jatuh sakit pada bulan lalu hingga tiada daya untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Surat panggilan haji diterima pada Mei lepas, kami sekeluarga terkejut dan terharu sebab tidak sangka yang ayah, emak dan saya dapat rezeki pergi Tanah Suci bersama.

“Ayah mahu tangguhkan ibadah haji, tetapi kami bagi semangat sebab peluang ini tidak datang selalu di samping itu kami merujuk kepada doktor tentang tahap kesihatannya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelepasan ke Tanah Suci Musim 1440H/2019 di dewan berlepas, Hotel TH di sini.

Eleeza Natasha bersama keluarganya merupakan antara 150 jemaah daripada kumpulan pertama negeri ini yang berlepas ke Tanah Suci semalam.

Katanya, sebagai persediaan awal segala bekalan ubat-ubatan telah disediakan antaranya pil saraf, prostat dan asma bagi pelbagai sakit kronik yang dialami bapanya.

Eleeza Natasha berkata, sejak jatuh sakit ayahnya turut membuang air kencing dengan menggunakan tiub.

“Saya dah jaga ayah semasa dia sakit, mudah-mudahan Allah terus bagi kekuatan untuk saya jaganya sepanjang di sana dan mempermudahkan ibadah haji kami tiga beranak,” katanya.

Sementara itu, Rahimi berkata, kakinya masih lagi lemah berikutan masalah yang dialami pada tulang belakang, bagaimapun keadaannya lebih baik sejak 10 hari lalu apabila sudah boleh berjalan dan tidak lagi terlantar seperti sebelumnya.

“Saya buat simpanan di Tabung Haji untuk isteri dan anak sejak 20 tahun lepas lagi dan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk (simpanan) kami bertiga,” katanya. -UTUSAN ONLINE