PLUS dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya akan melonjak dengan mendadak berbanding pada hari-hari biasa.

“Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 20 peratus pada hari-hari puncak berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa iaitu pada 9 hingga 12 Ogos serta 17 dan 18 Ogos.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pengguna yang lain,” katanya di sini hari ini.

Menurut PLUS, pihaknya tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol, namun begitu, terdapat kira-kira 10,000 pusat tambah nilai kad Touch n Go di seluruh negara yang merangkumi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, pasar raya serta kiosk layan diri.

“Pada masa sama, kami juga ingin memaklumkan pelanggan lebuh raya PLUS tidak boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect ketika ini. Oleh itu, mereka dinasihatkan supaya menambah nilai kad Touch n Go dan menggunakannya untuk semua transaksi tol di lebuh raya kendalian PLUS.

“Kami menasihatkan supaya pengguna lebuh raya menggunakan aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. Maklumat trafik juga dihebahkan secara berterusan menerusi Twitter PLUSTrafik serta papan tanda elektronik di lebuh raya,” jelasnya.

Di kesempatan ini, PLUS mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua pengguna lebuh raya dan mendoakan perjalanan yang selamat dan penuh keceriaan bersama keluarga di musim perayaan ini. -UTUSAN ONLINE