Perkara itu dicadangkan oleh Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang turut menyarankan kerajaan memperkenalkan kurikulum baharu di sekolah bagi membolehkan pelajar mempelajari kesan negatif rasuah dan sebab perlakuan itu tidak boleh diterima. 

“Masanya amat bertepatan kerana nilai murni dan integriti harus disemai dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih bersekolah. Ia membantu mengembangkan budaya kejujuran serta amanah agar menjadi cara hidup pemimpin masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyeru semua ahli politik yang mempunyai akses kepada dana awam, supaya mengisytiharkan harta masing-masing sebagai usaha mengelak berlaku kegiatan rasuah.

Latheefa juga berkata, kebanyakan kesalahan rasuah dilakukan oleh kakitangan bahagian perolehan dan tinjauan SPRM turut mendedahkan 22.1 peratus responden dalam sektor awam mengaku mereka sanggup menerima rasuah jika memegang kuasa. 


Dalam pada itu, Lam Thye berkata, sistem audit dalaman kementerian dan jabatan kerajaan perlu diperkukuhkan supaya kawalan pengurusan dana awam yang lebih baik dapat dilaksanakan.

“Sistem audit dalaman mestilah berkesan dan cekap untuk mengesan penyelewengan. Malah, sistem semak dan imbang perlu dibuat dalam proses kelulusan dan perolehan supaya tidak ada ruang untuk penipuan berlaku.

“Sistem pemantauan pula perlu diperkukuhkan supaya keberkesanan kawalan dan integriti urus niaga dapat dinilai dengan berkesan. Saya percaya bahawa pemupukan nilai-nilai murni dan etika serta kepatuhan terhadap aku janji tadbir urus yang baik adalah cara paling berkesan untuk memerangi amalan rasuah dalam perkhidmatan awam,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE