Shahidan yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri berkongsikan gambar beliau melawat keluarga tersebut melalui Facebooknya hari ini.

Dalam masa sama, beliau juga memaklumkan bahawa keluarga tersebut telah mendapat bantuan melalui Yayasan Pok Dan Kassim (YPK) sejak tiga tahun lalu sehingga sekarang.

Selain itu, kata Shahidan, pihak Baitulmal juga telah membina sebuah rumah kepada keluarga berkenaan namun tidak dapat dihuni lagi buat sementara waktu berikutan tiada bekalan elektrik.

“Saya tiba kira-kira pukul 2.30 petang ini bagi menyampaikan bantuan sepanjang Ramadan ini (kepada keluarga tersebut).

“Saya juga terkejut apabila dimaklumkan keluarga ini tidak ada makanan untuk berbuka puasa sedangkan pendapatan sebanyak RM1,000 (sebagai tukang kebun) dan RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dilihat pendapatan sesuai di Perlis, tetapi kenapa tidak cukup belanja?” soalnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, ketika ada yang berhabis sehingga ribuan ringgit semata-mata ingin membeli baju raya, di luar sana sebenarnya masih wujud keluarga yang tidak mampu menyediakan kelengkapan tersebut.

Nasib itu dialami keluarga Mohd. Shorkri Lazim, 42, yang sehingga kini masih buntu mencari duit untuk membeli baju raya untuk isteri dan tiga orang anaknya yang masing-masing berumur 10 sehingga 15 tahun

Bagi Mohd. Shorkri yang hanya bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di sini, dapat menyediakan sepasang baju raya untuk anak-anak adalah suatu perkara yang cukup bernilai. - UTUSAN ONLINE