Menyedari timbul pelbagai isu ketika menguruskan individu atau klien yang menghadapi masalah ketagihan, Serene Retreat Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengambil inisiatif menganjurkan Program Latihan Kemahiran Temuramah Motivasi.

Serene Retreat merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan rehabilitasi kepada pelbagai bentuk masalah ketagihan termasuklah dadah, arak dan sebagainya.

Program tersebut berlangsung selama tiga hari dan bermula hari ini di Hotel Qliq, Damansara dekat sini.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Serene Retreat Sdn. Bhd., Ahmady Muhammad Taib, program itu juga meletakkan objektif untuk memberi kesedaran kepada pesertanya mengawal emosi dan tingkah laku ketika berhadapan dengan klien yang menghadapi masalah psikologi.

Ahmady memberitahu, penganjuran program itu adalah untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta mengenai ilmu psikologi dan kaunseling.

"Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu pengetahuan dari segi persediaan psikologi seseorang yang berminat untuk menimba ilmu psikatrik dan ilmu kaunseling dari pakar psikologi dari University of California, Amerika Syarikat, Profesor Igor Koutsenok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sidang akhbar penganjuran program tersebut turut diadakan hari ini yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Ekeskutifnya, Shaamiel Davids dan Ahmady.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Pengurus Pentadbirannya, Shamsul Fizal; Psikologis Klinikal, RRaagidhasakti dan Pengarah Pendidikan dan Latihan, Cindy Biding.

Para peserta program terdiri daripada kakitangan dalam sektor kerajaan, termasuklah pensyarah universiti, pegawai dari Kementerian Kesihatan dan juga Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). - UTUSAN ONLINE