Pengorbanan itulah yang perlu dihadapi oleh Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking sejak menjawat jawatan berkenaan apabila kesibukan bekerja menyebabkan beliau kurang melawat kawasannya sejak akhir-akhir ini sehingga ramai pengundi mula mempersoalkan kegagalannya pulang ke kampung.

Menurut Darell, walaupun merindui aktiviti ‘kedai kopi’ bersama rakyat, namun beliau terpaksa menerima hakikat bahawa tanggungjawabnya sebagai menteri Kabinet adalah amat besar untuk rakyat Malaysia keseluruhannya tetapi perkara itu tidak akan dijadikan alasan untuk dia tidak pulang ke kawasannya berjumpa masyarakat.

“Orang-orang Sabah persoalkan saya banyak melalui Facebook dan mesej, sombong sudah si Darell, tidak lagi di kampung tidak lagi di kedai kopi, mungkin inilah sumpahan bila jadi pembangkang selama lima tahun kerana masa itu sekurang-kurangnya setiap pagi saya akan pergi duduk di kedai kopi.

“Bukan pasal makan sahaja tetapi mahu jumpa rakyat, dulu saya bertukar dari satu kedai kopi ke kedai kopi lain cuma sekarang saya diberikan amanah, ada menteri tidak sanggup menerimanya selepas melihat rakan menteri lain sentiasa buat kerja tengok jalan, tengok sekolah di kawasan bersama rakyat tetapi kementerian saya lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Darell berkata demikian sebagai penjelasan kepada rakyat Sabah terutama dari Penampang yang mempersoal kredibiliti pemimpin itu sebagai wakil rakyat.

Beliau yang mula menjadi Ahli Parlimen Penampang pada 2013 berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah memberi peringatan bahawa maksud turun kawasan kepadanya sekarang bukan sahaja balik Penampang tetapi ke seluruh dunia mencari pelabur.

Justeru tegasnya, walaupun masih berusaha membiasakan diri dengan jawatan itu, beliau akan bekerja keras untuk negara dan pada masa sama berusaha turun ke kawasannya selalu untuk berjumpa rakyat.

“Bila saya beritahu Dr. Mahathir lawatan pertama saya ke Indonesia dia tanya kenapa baru satu, beliau pesan turun kawasan bagi saya bukan di Sabah atau Penampang sahaja tetapi seluruh dunia, bawa balik sesuatu untuk Malaysia,” jelasnya.

Menurut Darell, minggu depan beliau bersama delegasi kementeriannya akan berada di Singapura untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan selepas itu ke Hanoi, Vietnam bagi progam Forum Ekonomi Dunia.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Sabah terutama di Penampang memberi peluang kepadanya untuk menunaikan amanah dan berjanji akan turut menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan seperti sebelum ini.

“Fahamilah bila saya keluar Malaysia, keluar Sabah atau Penampang, saya berusaha melakukan tugas untuk membawa balik sesuatu kepada negara dan negeri ini kerana tanpa peranan kementerian saya untuk menjalin hubungan baik dengan potensi pelabur dari seluruh negara, ekonomi Malaysia tidak akan berkembang,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE