Namun tiada siapa menduga, keakraban sahabat sehati sejiwa ini juga kekal hingga ke hujung nyawa apabila ketiga-tiganya menemui ajal bersama selepas kereta dinaiki mereka terbabit dengan kemalangan di Jalan Gerik-Kupang, Gerik semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, Muhamad Syahidi Ahamad Kamil,24, maut di lokasi nahas bersama Tengku Khairul Amirin Tengku Kamarudin, 24, dan Mohamad Syazlimie Mohd. Rosli, 24, apabila Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan sebuah bas.

Sementara itu, seorang lagi rakan mereka yang turut menaiki kenderaan sama, Muhammad Syahrin Rasid, 23, dilaporkan kritikal dan masih dirawat di Hospital Gerik.

“Tiga orang ini macam belangkas sejak sekolah rendah dan terus bersahabat rapat ketika di sekolah menengah. Walaupun tidak belajar di universiti sama, mereka wajib berjumpa dan habiskan masa bersama setiap kali cuti semester.

“Tetapi saya benar-benar tak sangka, mereka juga rakan sehidup semati apabila ketiga-tiganya meninggal dunia dalam kejadian sama,” kata Mohamad Syafiq Ahmad Kamil, 28, abang kepada Mohamad Syahidi ketika ditemui di kediaman mereka di Tanjung Chat, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Syafiq, Mohamad Syahidi yang merupakan anak kelima daripada enam beradik meninggalkan rumah dua hari lalu untuk bertemu adik bongsu mereka, Mohamad Syarif, 19, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis sebelum pergi bercuti di Pulau Pinang.

“Abah dan Mama terus ke Hospital Gerik manakala saya tunggu di rumah untuk buat persiapan terima ketibaan jenazah adik yang dijangka tiba pukul 3 petang ini.

“Saya tak dapat nak gambarkan rasa sedih ini, lebih-lebih lagi arwah orang yang paling periang dalam keluarga dan selalu menceriakan kami dengan gurau sendanya. Lagipun kami enam beradik memang rapat,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhamad Syahidi yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Diploma Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Chat selepas solat Asar.

Jenazah Allahyarham Tengku Khairul Amirin pula selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Langgar, di sini selepas solat Zohor manakala jenazah Mohamad Syazlimie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Keladi, di sini selepas solat Asar. - UTUSAN ONLINE